Satu Rasa Dua Hati

Satu Rasa Dua Hati



Buku ini menyediakan persoalan seharian berkenaan rumahtangga dan tanggungjawab dalam rumahtangga, berkaitan hubungan suami isteri serta kerukunan rumahtangga. Sesuai utk semua yang bakal dan telah berkahwin bagi memberikan panduan dalam menyemarakkan lagi kasih sayang dan cinta dalam perkahwinan.

Petikan dari kata- kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
" Pada umumnya, kisah-kisah samada yang saya paparkan menerusi dialog mahupun monolog di dalam buku ini, adalah gugusan pengalaman dan gelombang rasa sepanjang menjalani kehidupan, samada sebelum atau semasa menempuh alam rumah-tangga. Ia adalah adunan antara teori dan amali, impian dan mimpi, realiti dan fantasi. Walaupun sketsa ataupun kisah itu hanya satu hiasan latar dan kiasan imiginasi, namun pada hakikatnya apa yang cuba saya paparkan tetap kebenaran. Insya-Allah.
Sepanjang kembara dalam usia lewat 40′an saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja. Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun ‘body language’ – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka itulah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak resminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumahtangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibok membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resepi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci maki dan hasad dengki manusia.

Menulis bukan sekadar memberi maklumat atau menghiburkan, tetapi yang lebih penting untuk meyakinkan dan mempengaruhi. Buku ini walaupun berbicara seadanya, namun itu tidak bermakna mesej dan misinya juga seadanya. Tidak. Kita harus berbicara secara serius bila bercakap tentang rumah-tangga, justeru itu adalah nukleas segala-galanya. Bila menyentuh soal rumah tangga kita akan bercakap tentang ibu-bapa – pihak yang bertanggungjawab menjadikan seorang anak itu samada Muslim, Nasrani, Yahudi atau Majusi. Rumahtangga adalah tonggak generasi.

Rumahtanga kerap digelar ‘syurga dunia’. Berjaya menikmati syurga di dunia yang sementara ini adalah petanda baik untuk dapat menikmati syurga yang abadi di akhirat nanti. Namun, syurga di dunia ini (seperti yang saya katakan tadi) bermula di dalam rumah kita – Bainati Jannati. Rumah tangga yang aman damai, penuh kemesraan dan kasih sayang adalah bayangan syurga… Di situlah penghuninya menempa Qalbun Salim – hati yang sejahtera, perisai ampuh untuk menahan bakaran api neraka pada hari di mana anak-pinak dan harta tidak berguna (Padang Mahsyar).

Sekadar meminjam kata-kata hikmah daripada Mother Teresa, ketika beliau ditanya, “bagaimanakah hendak melahirkan sebuah dunia yang aman?” Beliau secara rengkas menjawab, ” pulanglah ke rumah masing-masing dan cintailah keluarga anda.” Malangnya, kerap terjadi seorang Presiden yang berbicara tentang keamanan, pulang dengan masam muka bertemu anak-anaknya di rumah. Perdana Menteri yang kononnya juara kedamaian, menjadi suami tuli dan bisu atas luahan isteri sendiri. Betapa ramai para pemimpin yang begitu hebat mengetuai organisasi dan masyarakat, kecundang dalam memimpin keluarganya.

Majalah Fortune pernah menjalankan kajian ke atas rumah tangga para CEO yang bertaraf dunia. Hasilnya mengejutkan! Hanya 10% sahaja daripada mereka yang tidak mengalami keruntuhan rumah tangga. Apalah ertinya jika kita berjaya meraih keuntungan berbilion-bilion dollar sekiranya gagal memimpin rumahtangga sendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, jika kita tidak dapat menikmati kebahagiaan dalam rumahtanga ertinya kita tidak akan menikmati kebahagian dalam kehidupan!

Saya terpanggil untuk menyumbang sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini. Soalnya ialah bukan samada saya berjaya atau gagal dalam misi ini, tetapi keazaman dan usaha. Tidak ada kegagalan dalam usaha yang murni… yang ada hanyalah ‘kejayaan yang ditangguhkan’. Mudah-mudahan usaha yang tidak sempurna ini akan ada pihak yang akan menyempurnakannya. Pasti ada kesalahan dan kesilapan, insya-Allah bakal ada orang yang akan membetulkannya. Dengan nama Allah… bacalah!"


*  *  *


Tajuk : 1 RASA 2 HATI

Penulis : Pahrol Mohamad Juoi

Publisher : Galeri Ilmu

Harga : RM22.50 (Harga Kami Serendah - RM22.00)

BORANG TEMPAHAN 

Catat Ulasan


    Random posts widget

ibs

 
Dengan Kerjasama : Blog ibnuDDin
Copyright © 2011. ibnuDDin Book Shop | Beli Buku Online - All Rights Reserved
Template Created by Maskolis
Proudly powered by Blogger